Ada satu sebab yang paling utama bagi kita sebagai seorang Islam untuk cuba sedaya upaya melangsaikan hutang secepat mungkin iaitu TAKUT kita dipanggil menghadap Allah S.W.T sebelum sempat membayar balik hutang yang ada.
Disebabkan kurang pendedahan kepada ilmu agama bersangkutan bab hutang-piutang ini, saya tidak langsung mengambil serius ketika membuat keputusan untuk mengambil pinjaman bank. Usia saya ketika itu masih lagi dalam pertengahan 20an iaitu seawal mula menceburkan diri di alam pekerjaan. Bukanlah satu amaun yang besar, hanya dalam lingkungan RM10,000 sahaja. Dan wang yang dipinjam itu adalah untuk kegunaan tertentu seperti pergi bercuti dan sebagainya. Alangkah ceteknya atau singkatnya pemikiran saya ketika itu.
Ditambah pula dengan godaan agen kad kredit supaya saya membuat permohonan untuk memiliki kad kredit. Sewaktu itu, promosi untuk menggunakan kad kredit amat popular sekali kerana ianya baru diperkenalkan. Dengan pendapatan tetap sekitar RM1,500 sebulan, sudah boleh memiliki kad kredit.
Persoalan tentang RIBA sama sekali tidak ada dalam fikiran. Perkataan riba juga sangat jarang didengari ketika itu, dan kalau adapun, sememangnya saya tidak mampu faham kerana tidak dapat mengaitkannya dengan penggunaan kad kredit yang mempunyai 'interest' dan sebagainya.
Setelah beberapa lama mengalami tekanan akibat jumlah bayaran bulanan balik pinjaman yang sudah semakin banyak hingga beberapa kali gagal membayar mengikut masa yang ditetapkan, tekanan semakin meningkat dan masalah kewangan semakin serius. DAN KETIKA ITULAH, saya terdedah dengan maklumat BAHANA mempunyai hutang yang banyak sehingga sukar untuk membuat bayaran balik.
Sekiranya ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan masih berhutang, dan kaum keluarga juga tidak mampu membayar balik hutang tersebut, ianya adalah sangat-sangat memudharatkan.
Bayangkan, peringatan dari Allah S.W.T tentang bab hutang ini yang sedemikian rupa. Ianya bukan suatu perkara yang mudah atau bersahaja.
Utamakan Perkara Yang Paling Utama - Melangsaikan Hutang
Oleh yang demikian, sekiranya anda berada dalam kategori hutang yang dikenali sebagai BAD DEBTS... perkara yang perlu anda lakukan sekarang ini, adalah BERTENANG. Rungkaikan kekusutan fikiran. Berundur ke belakang setapak, dan CUBA berada dalam keadaan tenang dan positif.
Ini adalah supaya kita keluar dari tekanan di mana kita sangat memerlukan tahap kewarasan yang tinggi untuk MENCARI JALAN bagaimana, perkara ini dapat diselesaikan.
Ya, ada jalan penyelesaian kepada masalah beban kewangan walau seberat mana beban tersebut.
Mulai sekarang, hari ini, semai di dalam fikiran satu semangat untuk keluar dari beban hutang atau beban kewangan yang sedang dialami. Fokuskan fikiran kepada BERAZAM bersungguh-sungguh untuk keluar dari beban hutang agar roh kita terselamat apabila kita meninggal dunia kelak.
Pegang dan berpautlah kepada AZAM tersebut bersungguh-sungguh dan jangan sekali-kali membenarkan fikiran anda membawa anda kepada ketidakstabilan emosi.
Dan seterusnya berdoalah dalam hati agar dipermudahkan urusan kita dan dibebaskan dari belenggu hutang yang memudharatkan.
No comments:
Post a Comment